KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, anggota parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, tiga tahun lalu.
Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman membuat keputusan itu terhadap Maria, 62, Sim, 42, dan Mandeep, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara membenarkan representasi yang dimohon pihak pembelaan.
“Setelah meneliti representasi, pihak pendakwaan membuat keputusan untuk menarik balik kes ini,” kata Noorelynna.
Sehubungan itu peguam Vince Tan yang mewakili ketiga-tiga OKS memohon mahkamah melepas dan membebaskan kesemua anak guamnya daripada pertuduhan itu dengan alasan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan.
Sim, Maria dan Mandeep didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac 2015.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.
Ketiga-tiga OKS itu didakwa pada 8 Sept 2015, bagaimanapun mereka dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 28 Ogos 2017 berikutan pendakwaan tidak hadir pada hari itu menyebabkan mahkamah melepas tanpa membebaskan mereka.
Bagaimanapun mereka kemudian didakwa semula atas pertuduhan sama pada 4 Okt 2017 dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. – BERNAMA