KEMAMAN – Seorang lagi remaja yang dilaporkan hanyut dibawa ombak besar bersama dua rakan di pantai Telok Kalong di sini pada Khamis, ditemukan lemas pada 5.20 pagi ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata mayat Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemukan pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi mayat Shahir Aqil Shahrun dijumpai semalam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis setelah pengecaman dibuat anggota keluarga untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang turut dikhuatiri lemas, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, masih diteruskan.
Mayat Shahir Aqil dijumpai semalam pada jarak 500 meter dari pusat kawalan bomba di pesisir pantai.
Ketiga-tiga remaja terbabit bersama empat rakan mereka ke pantai tersebut untuk mandi bersama kira-kira 6 petang Khamis, namun ombak besar tiba-tiba berlaku sehingga mereka gagal berenang ke pantai sebelum dibawa arus deras.
Shahir Aqil ialah atlet silat Terengganu bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018. – BERNAMA