PUTRAJAYA – Raptai penuh persembahan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2018 melibatkan kira-kira 15,000 peserta berjalan lancar di Dataran Putrajaya pagi ini.
Menampilkan semangat patriotrisme, setiap kontinjen diwakili daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan, selain melibatkan aset udara dan darat serta unit anjing dan kuda.
Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, Putrajaya dipilih sebagai lokasi rasmi sambutan Hari Kebangsaan ke-61 pada tahun ini sebagai simbol pentadbiran kerajaan baharu Malaysia oleh Pakatan Harapan.
Raptai dua jam yang bermula kira-kira 8 pagi itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor serta Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.
Sebilangan orang awam yang teruja turut mengambil peluang menyaksikan perjalanan raptai yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik itu.
Mohd Ali berkata raptai hari terakhir bagi sambutan Hari Kemerdekaan itu berjalan lancar dan baik secara keseluruhannya.
“Semuanya berjalan dengan baik termasuk keadaan cuaca hari ini walaupun terdapat beberapa elemen kecil yang perlu ditambah baik dan kita yakin sambutan Hari Kemerdekaan nanti akan berjalan dengan baik serta diharapkan cuaca juga menyebelahi kita.
“Sambutan Hari Kebangsaan dengan tema Sayangi Malaysiaku juga diharap dapat menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan bersama menjayakan Malaysia Baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata pihak polis telah bersiap siaga dari segi kawalan trafik, selain memberi jaminan keselamatan sepanjang acara itu nanti.
“Seramai 110 anggota dan pegawai akan ditempatkan bagi menjaga kawalan trafik di sekitar core island di Presint 2,3 dan 4 serta menempatkan tambahan kereta peronda untuk mengawal kawasan sekitar acara berkenan,” katanya selain menegaskan, kawalan keselamatan di kawasan luar tumpuan acara turut dilaksanakan bagi mengelak sebarang insiden tidak perlu.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat Sabah di Dataran Bandaraya, dekat sini hari ini, melibatkan perbarisan 151 kontinjen, persembahan deklamasi puisi dan lagu-lagu patriotik, juga berjalan lancar.
Ia antara lain turut melibatkan perarakan kenderaan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Darat Malaysia, selain penerbangan lintas hormat pasukan gerakan udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Raptai penuh kira-kira dua jam sejak 7.30 pagi itu turut disaksikan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Abd Muis Picho serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan.
Abd Muis berkata pihaknya berpuas hati dengan raptai hari ini meskipun masih terdapat beberapa perkara perlu diperbaiki dari segi persembahan bagi memastikan kelancaran hari kemuncak sambutan pada Jumaat.
Beliau yakin sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri akan berlangsung meriah dan penuh patriotik dengan pelbagai acara disediakan termasuk persembahan dan pertunjukan kebudayaan lengkap dengan pakaian etnik.
Orang ramai dijemput hadir ke Dataran Bandaraya bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ pada 31 Ogos ini, katanya. – BERNAMA

