LANGKAWI – Seramai 106 individu yang disyaki penagih dadah diberkas dalam Ops Sarang melibatkan beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai sarang penagih dadah di pulau ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Supt Helmi Aris berkata 161.3 gram heroin, 28.51 gram syabu, 14.64 gram ganja, 986 gram daun ketum dan tiga liter air ketum turut dirampas dalam operasi dua hari itu berakhir hari ini.
“Seramai 98 orang yang ditangkap adalah lelaki berumur antara 17 dan 56 tahun dan lapan lagi wanita berumur antara 23 dan 35 tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata daripada kesemua yang diberkas itu, 54 orang didapati positif mengambil dadah, 22 disyaki menjadi pembekal dan 30 lagi memiliki dadah.
“Daripada keseluruhan yang ditangkap ini, 80 peratus daripada mereka adalah penagih berulang dan selebihnya penagih baharu,” katanya.
Helmi berkata kawasan yang disyaki sarang penagih di sekitar Taman Nilam, Bukit Malut dan Pulau Tuba di sini, akan terus dipantau sebagai langkah susulan untuk membanteras kegiatan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata jumlah tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di Kedah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, melibatkan 8,664 orang, meningkat 43.3 peratus berbanding 6,044 orang dalam tempoh sama tahun lepas.
Daripada jumlah itu, 535 orang ditangkap untuk siasatan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
“Sepanjang tempoh itu, JSJN Kedah juga merampas kira-kira 56kg heroin, 35kg ganja, 14kg syabu dan 14 tan metrik daun ketum,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim dan timbalannya DSP Roszemi Mat Derus. – BERNAMA

