JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemukan lemas dipercayai tergelincir ke dalam sebuah lombong di Kampung Parit Bakri, dekat Muar, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supt. Idris Rajab berkata Mohamad Taufieq Jabau, 27, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ditemui terapung oleh orang awam pada 10.15 pagi tadi sebelum memaklumkan kepada polis.
Beliau berkata menurut maklumat dari keluarganya, Mohamad Taufieq keluar dari rumah untuk memancing ikan di lombong berkenaan, dua hari lepas dan tidak pulang selepas itu.
“Mohamad Taufieq difahamkan pergi memancing pada 6 petang. Keluarganya juga tidak mengesyaki apa-apa terjadi kerana dia sering ke lombong berkenaan seorang diri dan pernah tidak pulang ke rumah selama dua atau tiga hari,” katanya yang dihubungi, di sini hari ini.
Idris berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati, Mohamad Taufieq yang merupakan OKU masalah pembelajaran itu tergelincir dan tidak tahu berenang sekali gus menjadi punca kepada kematiannya.
Katanya hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA