KUALA LUMPUR – Penduduk Balakong dan Cheras kini boleh menarik nafas lega apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meluluskan projek naik taraf jalan utama Off Jalan Balakong dan simpang berhampiran Lebuhraya Grand Saga yang dijangka siap dalam masa dua tahun.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Wong Siew Ki berkata projek yang menelan kos RM8 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju hartanah Parkland Group dan projek tersebut akan bermula seawal September ini.
“Jalan utama 800 meter ini akan dinaik taraf menjadi laluan dua lorong ke kawasan Balakong dan dua lagi ke Cheras. Selepas naik taraf jalan ini, masalah kesesakan di sini akan dapat dikurangkan.
“Persimpangan di Grand Saga juga akan dinaik taraf, menjadikan kenderaan boleh melakukan pusingan ‘U’ di sana. Menerusi penaiktarafan ini, klasifikasi tahap perkhidmatan jalan raya akan naik ke peringkat ‘C’ berbanding ‘F’ sekarang.
“Diharapkan dengan adanya projek ini, masalah trafik dan banjir kilat diselesaikan sepenuhnya,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Majlis Majlis Perbandaran Kajang So Lian Kiong yang menerangkan lebih lanjut mengenai projek naik taraf tersebut.
Projek naik taraf jalan berhampiran Stesen MRT Batu 11 Cheras itu merupakan antara manifesto PH bagi PRK tersebut yang diumumkan Wong baru-baru ini.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan penyandangnya Eddie Ng Tien Chee maut dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.
Dalam pada itu, So berkata projek tersebut tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah dan sistem perparitan juga akan dinaik taraf dengan kerja-kerja pelebaran jalan raya bagi menangani masalah banjir.
“Projek tetap akan diteruskan walaupun calon PH kalah dalam PRK nanti kerana ia telah diluluskan JKR pada minggu lepas dan ia merupakan antara fokus utama mendiang Ng sejak dulu lagi.
“Sekarang ia menjadi komitmen Wong dan harap pengguna jalan raya bersabar sehingga tamat projek ini,” katanya. – BERNAMA