KUALA LUMPUR – Penyanyi bervokal mantap, Nora Ariffin masih menimbang keputusan untuk menyertai mana-mana pertandingan termasuk Muzik-Muzik 33 walaupun ramai yang berharap dia berbuat demikian selepas muncul dengan single baharu, Ada Dalam Tiada.
Tanpa berselindung, Nora mengaku masih fobia dengan apa yang dilaluinya ketika menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim ketiga, dua tahun lalu.
“Fobia GV3 masih menghantui… Jika dulu, susah senang atau setiap kali berada dalam tekanan, suami (Allahyarham Johan Nawawi) boleh menjadi tempat saya berkongsi dan mengadu nasib.
“Kalau sekarang, saya sendiri tak dapat nak bayangkan bagaimana keadaannya nanti,” katanya kepada BH Online.Nora sedar syarikat rakamannya, Warner Music berminat mencalonkan single terbarunya itu kepada penerbit MM 33.
“Peminat juga menyarankan saya bertanding dalam MM 33. Mereka teruja kerana dapat menerima single saya dengan baik.
“Selain itu, komposer Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen serta penulis lirik, Habsah Hassan juga berharap saya dapat sertai program itu.
“Namun, saya sendiri tak dapat nak putuskan apa-apa. Ini kerana bertanding bukan seperti menyanyi biasa. Biasalah, semua yang bertanding tentulah nak menang.“Jadi tahap tekanannya sangat berbeza,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nora atau nama penuhnya, Wan Norafizah Ariffin berkata, dia bakal merakamkan semula lagu klasik, Sayang Di Sayang sebagai salah satu rangka promosi untuk filem terbaru terbitan Primeworks Studios, Pulang.
“Selepas menonton filem Pulang, saya menghubungi Datuk Ahmad Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios) untuk mengucapkan tahniah.
“Dalam perbualan itu, Izham memberitahu pihaknya sedang mencari penyanyi untuk merakamkan kembali lagu yang turut dimuatkan dalam filem berkenaan.
“Alhamdulillah, saya terpilih. Untuk versi ini, susunan muzik lagu itu digubah semula oleh Aubrey Suwito.
Saya difahamkan, lagu ini kelak akan dimasukkan dalam platform digital dan sebagai salah satu rangka promosi filem berkenaan.
“Sebagai penyanyi lama, saya sifatkan tawaran yang diberi suatu penghargaan buat saya,” katanya yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema. – BH ONLINE