KUALA LUMPUR – Kenyataan anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir kononnya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) hanya mahu menuntut hak kesamarataan di negara ini dibidas Wanita UMNO Malaysia.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tuntutan hak sama rata oleh golongan LGBT yang bertentangan dengan agama itu bakal menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar terhadap masyarakat Malaysia.
“Benar kata Marina, hari ini mereka bukan minta perkahwinan sejenis tetapi apa akan jadi pada masa akan datang? Perkahwinan sejenis di negara lain bermula dari perjuangan menuntut kononnya hak asasi sama rata untuk golongan LGBT,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noraini berkata, Wanita UMNO Malaysia bersetuju setiap individu di Malaysia tidak pernah dinafikan hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian seperti mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan, perlindungan keselamatan dan sebagainya.
Namun, kata beliau, setiap rakyat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja dari sudut kehidupan malah perlembagaan mesti akur untuk menerima bahawa hubungan sesama jantina itu adalah haram di sisi Islam.
Maka, kata beliau, untuk menghalalkan golongan LGBT mengamalkan gaya hidup hubungan sesama jantina secara terbuka merupakan satu hak yang berlebihan untuk diminta dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia.
“Kita menentang penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan LGBT yang berusaha mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kekeliruan perasaan mereka, baik dari sudut spiritual mahupun perubatan.
“Namun, sebagai wanita dan ibu, Wanita UMNO tidak akan membenarkan golongan LGBT dihalalkan perlakuan songsang mereka dalam kalangan masyarakat kerana ini bukan jalan penyelesaian kepada isu LGBT,” katanya.
Tambah beliau, budaya LGBT akan merosakkan sistem sosial dan sistem keluarga sekaligus memusnahkan sistem sosial dengan percanggahan nilai dan kerosakan adat budaya ketimuran.
Kata beliau, golongan LGBT juga dikesan sebagai kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017 berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan.
Lebih mengejutkan, katanya, jumlah tersebut adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan (IDU).
“Saya menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan yang pantas dan tegas bagi menghalang kempen menghalalkan gaya hidup LGBT dalam negara ini kerana Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan LGBT adalah haram di sisi Islam,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

