SEREMBAN – Seorang pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, 3 Jun lepas.
Tertuduh Mohd Hazmi Abdul Halim, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa mengganggu, menakutkan dan mengancam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dengan pengunci stereng kereta ketika pegawai itu hendak memeriksa kenderaan Mitsubishi Triton miliknya.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan puku 12.15 tengah hari 3 Jun di tempat letak kenderaan di hadapan Sekolah Sri Seremban di sin.
Dia sebelum itu dipanggil oleh SPRM untuk hadir sebagai saksi berkaitan satu kes.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 48(h) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengawai Pendakwa SPRM Karmila Mokhtar memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Jamal Abas yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan dua anak yang masih kecil dengan pendapatan hanya RM3,000 sebulan.
Junaidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu pengadu atau jaminan ditarik balik.
Mahkamah juga menetapkan 25 Sept sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

