KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membina sebuah taman rekreasi di tapak Kondominium Highland Towers yang runtuh 25 tahun lepas, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya pernah merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium tersebut, tetapi ia lihat tidak bersesuaian untuk dibina.
“Namun kedudukan asas tanah di kawasan itu didapati tidak sesuai untuk didirikan rumah atau bangunan. Jadi kita akan menukarkan kawasan itu sebagai taman reakreasi. Lokasinya strategik dan masyarakat sekitar boleh gunakannya.
“Setakat ini jawatankuasa mengenai Highland Towers telah lima kali bermesyuarat dan telah mengenalpasti pemilik sah bangunan itu. Kita sedang dalam peringkat mengusahakan cadangan bagi membangunkan kawasan itu. Ia masih dalam perancangan dan InsyaAllah saya akan luluskan bila sampai masanya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran kempen #Girl2Leaders Malaysia. Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor Masdiana Mohammad yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Pada 11 Dis 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang. Berikutan itu, penghuni dua blok lain dipindahkan dan sejak itu bangunan berkenaan terbiar dan menjadi sarang penagih dadah .
Dalam perkembangan lain, Zuraida turut mengulas mengenai amaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR supaya tiada pihak yang menggunakan kaedah licik untuk menang dalam pemilihan parti.
Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata amaran yang dikeluarkan itu bertepatan bagi seorang yang akan menerajui parti tersebut.
“Beliau (Anwar) akan menjadi presiden dan memimpin PKR, bersesuailah bagi beliau (Anwar) mengeluarkan satu amaran kepada mereka yang mengamalkan ‘politik kotor’ walaupun pada peringkat pemilihan parti sahaja,” kata beliau yang bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu. – BERNAMA

