KUANTAN – Seorang jururawat kerugian RM30,000 akibat ditipu empat lelaki dipercayai daripada sindiket Macau Scam, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 38 tahun mendakwa memindahkan wang itu ke dalam akaun yang diberi suspek menerusi panggilan telefon.
Katanya mangsa yang bekerja di Hospital Jerantut mendakwa menerima panggilan itu semasa sedang bekerja pada 9.30 pagi semalam, memaklumkan dirinya terlibat dengan kegiatan dadah dan penggubahan wang haram bernilai RM2.5 juta.
“Mangsa menafikan dakwaan tersebut, namun suspek kemudian menghubungkan mangsa dengan tiga lelaki yang mendakwa diri mereka sebagai Sarjan dan Inspektor bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Suspek meminta mangsa memindahkan wang ke dalam sebuah akaun yang kononnya untuk tujuan penyimpanan sementara, yang dituruti mangsa pada 11.30 pagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek juga meminta mangsa membuat satu lagi transaksi pemindahan wang, namun mangsa yang mula tidak sedap hati terus menamatkan panggilan.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

