PENAMPANG – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan semua pihak agar menghindarkan diri daripada menggunakan isu-isu sensitif di negara majmuk seperti Malaysia, terutama isu kaum dan agama, sebagai bahan senda gurau kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
Mohd Shafie berkata banyak negara di dunia hari ini berhadapan banyak masalah dalaman serta konflik kerana kegagalan negara berkenaan mengurus isu-isu sensitif seperti itu dan kegagalan itu telah menjadi ancaman dalaman kepada negara berkenaan.
“Sebab itu, kita berharap rakyat di negara ini jangan permainkan persoalan agama, jangan persendakan persoalan kaum lain kerana ini unsur yang boleh memecah-belahkan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, yang penting kepada kita ialah kita mesti ada kesepaduan dan kesepakatan…,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.
Menurut Mohd Sahfie, Malaysia hari ini, walaupun hanya sebuah negara kecil, boleh berbangga kerana telah banyak membangun mendahului banyak negara lain yang merdeka jauh lebih awal daripada negara ini.
Katanya, keupayaan Malaysia membangun lebih cepat berbanding banyak negara lain itu ialah kerana wujud perpaduan serta kesepakatan dalam kalangan rakyatnya.
“Apabila rakyat bersatu-padu, maka kita boleh memanfaatkan kekayaan yang ada di negara dan negeri kita. Kalau perbalahan dan peperangan yang berlaku di negara kita, sudah pasti apa juga kekayaan di negara ini, di negeri ini, tidak dapat dinikmati oleh anak dan generasi kita yang akan datang,” katanya.
Justeru Mohd Shafie mengajak semua lapisan rakyat agar mencurahkan segala daya upaya mereka untuk bersama-sama kerajaan membangunkan negara dan memanfaatkan segala kekayaan di negara ini termasuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan untuk rakyat.
Katanya, kemerdekaan negara ini tidak akan bermakna sekiranya rakyat menganggur atau kekayaan negara ini dibolot oleh segelintir masyarakat sahaja sedangkan segolongan lain masih kekurangan serba serbi atau jauh tertinggal dari arus pembangunan.
“Kita ingin melihat masyarakat di luar bandar dapat menikmati bekalan air bersih, (ingin melihat) kilang-kilang yang dapat mengeluarkan hasil yang ada di kampung-kampung mereka.Inilah erti kemerdekaan.Tidak ada ertinya kita merdeka tetapi anak kita masih merempat,” katanya.
Pada majlis berkenaan selain mengagihkan Jalur Gemilang kepada pelbagai agensi awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, Mohd Shafie turut melancarkan program Kembara Merdeka Negaraku anjuran Jabatan Penerangan serta menaiki belon udara sebagai satu daripada pengisian majlis pelancaran berkenaan. – BERNAMA