PUTRAJAYA – Pelbagai gelagat dipamerkan oleh individu tertentu bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap negara disamping menarik perhatian pengunjung perbarisaan Hari Kebangsaan 2018 untuk berswafoto bersama mereka sebagai kenang-kenang pada hari yang penuh bersejarah ini.
Bagi Adila Jimi,26, beliau mewarnakan mukanya dengan warna putih dan memakai baju bercorak Jalur Gemilang sambil mengeraskan dirinya dan beraksi umpama patung.
“Ini cara saya, malah ini merupakan pertama kali saya menyertai hari perbarisan kemerdekaan sebagai ‘orang keras’ semenjak menjadikan artis jalanan ini sebagai kerjaya sambilan saya,” katanya kepada Bernama.
Adila berkata beliau melakukan tugasan berkenaan bersama sepupunya yang dikenali sebagai Mohd Irwan Rosli, 15, dan bapa saudaranya Rosli Yusof, 40an. Mereka melayan orang ramai yang mahu mengabadikan kenangan dengan berswafoto bersama.
Beliau berkata kebiasaannya sedikit bayaran akan bagi pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka namun bagi hari kebangsaan itu, beliau menawarkan khidmat itu secara percuma.
“Inilah cara saya menyumbang khidmat kepada masyarakat… saya seronok melihat kanak-kanak dan orang ramai yang mahu bergambar dengan kami. Malah tiada langsung rasa penat melayan mereka semua,” katanya.
Sementara itu Mohd Izzat Mohd Isa, 29, seorang peniaga dan isterinya Anieda Shafie, 31, pula memakaikan kedua-dua anak mereka dengan bendera Jalur Gemilang.
“Anak-anak memang meminta dipakaikan baju bendera Malaysia, saya nampak semangat mereka dan meminta ibu menjahit baju untuk mereka,” katanya.
Katanya anak-anaknya Aisy Dazrin, 5, dan Nor Qisya Amanda, 3, nyata selesa dengan pakaian mereka.
Sementara itu , Mohammad Jamil Abdul Hamid yang merupakan seorang tukang jahit uniform ketenteraan, sanggup membelanjakan RM2,000 untuk menjahit jaket dan turban Jalur Gemilang.
Mohammad Jamil, 60, berkata beliau dan anak perempuan Irha Jamil Mohammad Jamil, 10, sangat gembira memakai baju Jalur Gemilang, yang direka dan dijahitnya sendiri.
“Saya jahit baju ini semata-mata Hari Kebangsaan memandangkan ia disambut setahun sekali. Saya mengambil satu bulan untuk mencari idea dan satu minggu untuk siap.
“Turban saya yang dihiasi manik-manik turut saya beli dari Pakistan. Sudah tujuh tahun saya menjahit baju-baju Jalur Gemilang menunjukkan rasa cinta dan bangga kepada negara,” katanya.
Turut menarik perhatian pada sambutan itu ialah kehadiran lima sekeluarga memakai baju Jalur Gemilang yang ditempah khas bagi meraikan Hari Kebangsaan 2018.
Afendi Hashim, 37, hadir bersama isterinya, Masrinawati Jamaluddin, 34, dan dua anak lelaki mereka Mohd Irfan Danial, 9, dan Mohd Iman Hariz, 2, serta adiknya Nur Afidah Johan, 22.
“Saya hantar baju ini untuk dijahit pada hari Rabu dan berjaya disiapkan semalam. Kos untuk semua baju ini cuma kira-kira RM200,” katanya sambil menambah ini adalah kali pertama mereka hadir pada sambutan Hari Kebangsaan, kata Masrinawati. – BERNAMA

