MELAKA – Lebih 100 peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2018 yang menaiki 60 kenderaan, termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi, tidak patah semangat untuk meneruskan jelajah di negeri ini walaupun hujan lebat sejak awal pagi .
Seorang daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi, Chee Chung Wei berkata beliau tetap bersemangat meneruskan konvoi walaupun terpaksa menempuhi hujan lebat, cuaca sejuk dan jalan licin.
“Inilah salah satu cara saya dan rakan-rakan menzahirkan rasa cinta kepada negara serta berkongsi meraikan sambutan bulan kemerdekaan negara bersama rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.



Terdahulu, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Muhamad Jailani Khamis merasmikan acara sambutan KMJG 2018 peringkat negeri Melaka di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh hari ini.
Acara melepaskan peserta konvoi KMJG 2018 itu turut dilakukan oleh Datuk Bandar Melaka, Datuk Azmi Hussain.
Mohamad Arifin Idris, 59, seorang peserta konvoi, yang mula menyertai KMJG pada 2001, bekata beliau bersyukur dengan nikmat keharmonian negara setelah mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Saya rasa teruja apabila melihat kemeriahan yang ditunjukkan oleh orang ramai yang menyambut baik kehadiran kami sebelum ini.
“Saya juga dapat lihat bahawa semangat kemerdekaan masih tebal dalam diri rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) apabila kami singgah di tempat mereka sebelum ini,” katanya.
Konvoi yang turut disertai petugas media itu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pulau Pinang pada 4 Ogos lepas. – BERNAMA

