KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerima lebih 800 aduan berhubung isu hak asasi di negara ini pada setiap tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), P. Waytha Moorthy berkata, aduan itu antaranya melibatkan masyarakat Orang Asli dan India.
“Perbincangan diadakan dengan Pengerusi Sukaham di pejabat saya pagi ini. Isu yang dibincangkan termasuk tentang soal tanah, mati dalam tahanan, penahanan migran dan halangan keatas agama minoriti.
“Pandangan Suhakam perlu ditangani dengan cara yang membina tanpa prejudis kerana badan hak asasi mahu Malaysia setaraf dengan negara maju daripada segi hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berkata, Suhakam turut menekankan bahawa Malaysia belum mengesahkan enam perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung hak asasi manusia.
“Ia (Suhakam) merasakan bahawa kerajaan hari ini (Pakatan Harapan) perlu meratifikasi perjanjian ini untuk perlindungan hak asasi manusia yang lebih baik di Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB.TV