SIBU – Orang ramai di Sarawak diminta agar tidak melakukan pembakaran terbuka semasa cuaca panas dan kering sekarang ini bagi mengelak berlakunya kebakaran besar yang sukar dikawal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dengan keadaan cuaca panas masa kini, api boleh marak serta merebak dengan cepat.
“Kita nasihatkan orang ramai jangan melakukan sebarang bentuk pembakaran terbuka untuk apa tujuan sekalipun kerana keadaan cuaca panas dan kering akan menyebabkan api cepat merebak dan dikhuatiri jika berlaku kebakaran sukar untuk dikawal.
Tiong berkata, sepanjang musim panas yang bermula awal bulan ini, sebanyak 163 kes kebakaran semak, belukar dan tanah gambut dilaporkan, yang melibatkan kawasan seluas lebih 189 hektar.
Jumlah kebakaran yang dilaporkan semalam ialah dua kes di kawasan Petra Jaya; Batu Lintang (dua); Lundu (dua); Kota Samarahan (satu); Sri Aman (dua); Bintangor (satu); Sungai Merah (empat); Sibu (dua); Mukah (dua); Bintulu (satu); Lopeng (empat); dan Miri (tiga).
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya membantu dalam usaha memadam kebakaran belukar yang skalanya masih kecil terlebih dahulu sebelum mendapatkan bantuan bomba.
Sekiranya sudah tidak dapat dikawal lagi barulah laporkan kepada JBPM serta Jabatan Alam Sekitar dengan kadar segera, katanya.
Mengenai jerebu, beliau berkata faktor angin dari arah negara jiran berkemungkinan akan memburukkan lagi keadaan ekoran terdapat banyak titik panas dikesan di kawasan Kalimantan Barat dan Tengah. – BERNAMA
