KUANTAN – Dua beradik maut akibat tercampak keluar selepas kereta Honda City dinaiki bersama ibu bapa mereka terbabas dan terbalik sebelum melanggar tiang lampu di hadapan Stesen Petronas Bukit Pelindung, Jalan Beserah, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, dua kanak-kanak berkenaan, Nur Afina Safiya Mohd Helmiardi, 11, dan adiknya, Nur Nailah Al Farafisha, 11 bulan, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pemandu kenderaan yang juga ayah mangsa, Mohd Helmiardi Nosaha, 29, dari Balok, dekat sini, cedera di bahagian dada manakala isterinya, Nor Yumni Yahya, 24, patah kedua kaki dan kini dirawat di HTAA.
Katanya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, Mohd Helmiardi yang memandu dari arah bandar Kuantan menghala ke Balok, gagal mengawal kereta kenderaannya yang terbalik dan melanggar tiang lampu di tengah-tengah penghadang jalan.
“Semua mangsa dikejarkan HTAA untuk mendapatkan rawatan namun kira-kira jam 12.30 tengah malam, dua kanak-kanak yang sedang menerima rawatan, meninggal dunia di wad kecemasan HTAA,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menjalankan bedah siasat terhadap mayat dua beradik itu atas permintaan keluarganya.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..