KUALA LUMPUR – Adidas Malaysia terus memberi sokongan terhadap kemajuan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dengan menaja kasut bola sepak terkini kepada skuad Bawah-13 (B-13) dan Bawah-14 (B-14).
Pengurus Pemasaran Jenama Sukan dan Komunikasinya, Cheng Yik Hoong berkata Adidas Malaysia komited dalam memberi sokongan penuh terhadap AMD dan sebelum ini membekalkan atlet muda berbakat dengan produk dan peralatan sukan, sambil berikrar akan meneruskan usaha itu dari semasa ke semasa.
“Kami sentiasa menghargai atlet muda berbakat yang mempunyai potensi dalam bola sepak. Kami percaya mereka memiliki apa yang diperlukan untuk mencapai matlamat mereka dan membuatkan negara bangga.
“Dengan teknologi pada produk kami…kami berharap dapat membantu memberi keselesaan dan kemampuan untuk mengasah kemahiran mereka serta meningkatkan prestasi semasa latihan dan perlawanan,” katanya ketika pelancaran pek bola sepak terkini Adidas Malaysia – ‘Team Mode’ di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah tiga pemain Bawah-13 – Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish – yang mewakili skuad B-13 Paris Saint-Germain (PSG) pada Kejohanan Antarabangsa ‘Memorial Guiseppe Augello V’ di Rom, Itali pada Jun lepas.
Hadir sama ketua pasukan Felcra FC, Shahrom Kalam dan Muhammad Jafri Firdaus Chew daripada pasukan PKNS FC.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif NFDP Safirul Azli Abu Bakar berkata tajaan tersebut sudah tentu memberi impak positif kepada pemain muda dalam usaha menjadi pemain bola sepak terkemuka pada masa hadapan.
“Saya berharap langkah ini akan menaikkan semangat dan keazaman pemain-pemain berkenaan untuk lebih cemerlang, dan paling penting buat negara. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Adidas Malaysia atas sokongan berterusan kepada NFDP,” katanya.
Pek baharu ‘Team Mode’ itu terdiri daripada NEMEZIZ 18+, Predator 18+, X18+ dan Copa 18 dengan menampilkan warna dan teknologi terkini bagi memberi keselesaan, serta meningkatkan prestasi pemain. – BERNAMA