IPOH – Kira-kira 35,000 pengunjung dijangka menghadiri ekspo pelancongan Matta Fair 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Perak di Aeon Big Falim di sini, bermula 7 hingga 9 Sept ini.
Pengerusi Penganjur Matta Fair 2018 K Sugumaran berkata ekspo yang bermula 10 pagi hingga 10 malam itu akan mempromosikan pakej pelancongan Muslim yang menyediakan makanan halal serta kemudahan bersolat bagi destinasi percutian di China, Korea, Taiwan, Jepun serta Eropah.
“Matta Fair 2018 juga menawarkan pakej yang berpatutan kepada pelawat bagi cuti persekolahan hujung tahun, musim perayaan dan sebelum musim sejuk di destinasi seperti Jepun, Korea, China dan Taiwan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata ekspo turut menyediakan kendera saji yang menjual pelbagai jenis makanan kepada pengunjung.
“Sebanyak 100 gerai pameran dan jualan yang disertai agensi pelancongan, pihak hotel dan penyedia perkhidmatan pelancongan disediakan kepada pengunjung dengan menawarkan harga pakej pelancongan yang rendah,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan ekspo kali ini mencatatkan nilai jualan RM42 juta. – BERNAMA