KUALA LUMPUR – Usahawan perniagaan francais perlu mengambil peluang dengan meneroka pasaran antarabangsa yang mempunyai prospek serta potensi yang lebih besar berbanding dalam negara.
Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shabudin, berkata antara sektor yang perlu diberi perhatian selain makanan dan minuman (F&B) ialah perkhidmatan memandangkan sektor itu kini mula mendapat banyak permintaan.
Beliau berkata, sudah tiba masanya usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan francais masing-masing dan melihat dalam skop yang lebih luas seperti mempunyai kehadiran di rantau Asia Tenggara.
“Perniagaan francais adalah sektor terbaik untuk diterokai secara meluas di peringkat global. Kita mahu usahawan mempunyai keyakinan dalam memperkukuh perniagaan dan masuk ke negara lain dan memperluas empayar perniagaan di sana.
“Malah, mereka juga boleh beralih kepada penawaran perniagaan dalam cabang perkhidmatan yang kini menjadi antara sektor yang pesat membangun,” katanya ketika ditemui selepas majlis Hari Penghargaan Kopi dan pelancaran Gloria Jean’s Coffees Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), Datuk Azmi Mohd Ali.
Syed Kamarulzaman berkata, setakat ini terdapat 65 syarikat francais tempatan mempunyai kehadiran di pasaran luar negara.
Menurutnya, dengan jumlah berkenaan, ia membuktikan usahawan dari Malaysia mampu untuk berada di pasaran sedemikian malah turut mencapai kejayaan.
“Situasi ini jelas menunjukan ada yang berjaya dan ini mampu menjadi pemangkin dalam menarik lebih banyak usahawan serta syarikat untuk mengikut jejak langkah golongan ini,” katanya.
Mengulas mengenai prospek industri francais bagi separuh kedua tahun ini, beliau berkata, terdapat keperluan untuk meningkatkan penyertaan usahawan ke dalam segmen francais.
Bagaimanapun, katanya perkara itu bergantung kepada pemilihan jenis perniagaan yang bertepatan dan bersesuaian dengan kemampuan untuk menjalankan perniagaan serta lokasi yang strategik.
Sementara itu, Persatuan Francais Malaysia (MFA) mengunjurkan industri francais negara mampu mencatatkan pertumbuhan sehingga 10 peratus tahun ini. – BH Online

