JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kepimpinan adalah tentang tindakan, bukannya tentang kedudukan.
Titah baginda, sebagai pemimpin kadang-kala perlu melakukan keputusan yang sukar untuk diterima orang, tetapi ia adalah demi kebaikan negara.
“Saya faham Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memikirkan diplomatik untuk bertindak. Ini bukan mengenai diplomatik, tetapi mengenai nama negara yang telah dihina.
“Mana yang lebih penting, untuk menjadi popular atau untuk berjaya? Sebagai seorang ketua, kadang-kala kita tidak boleh asyik nak menjaga hati semua pihak sahaja.
“Leadership is about action. Not position. Sometimes you have to bite the bullet,” titah baginda di laman Facebook Johor Southern Tigers malam tadi.
Baginda bertitah demikian berikutan kes terbaru mengenai apabila skuad kebangsaan B16 sedang bermain menentang Thailand dalam Kejohanan Piala AFF B16 2018 di Indonesia.
Kedengaran penyokong Indonesia menyanyikan lagu yang berunsur provokatif dan menghina iaitu ‘Malaysia itu anjing’ dan ‘Amirul itu anjing’.
Terdahulu, Tunku Ismail memberi jaminan akan memastikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menulis surat bantahan kepada AFF dan AFC serta ‘protes’ dan tarik diri dari kejohanan tersebut jikalau perlu.
“Walauapapun, tindakan perlu dikenakan. Saya rasa ia perlu dilakukan secepat mungkin,” titah baginda.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MYNEWSHUB.TV

