PENYANYI dan pengacara, Hunny Madu mengakui baru mendapat keberanian untuk mendedahkan keadaan anaknya, Adam Musa berusia tujuh bulan yang mengalami penyakit jantung.
Menurut Hunny, 34, dia mendapat keyakinan itu selepas memahami sendiri keadaan sebenar anaknya selain melihat semangat Adam yang membesar secara kuat.
“Alhamdulillah Adam kuat dan ok. Meskipun ada penyakit namun tumbesarannya berjalan dengan lancar serta proses menjaganya sangat senang seperti bayi lain.
“Memang doktor ada memberitahu simptom apa yang berlaku jika dia mengalami kesakitan dan itu perlu saya pantau. Bagaimanapun, setakat ini Adam hanya perlu mengambil sebiji ubat untuk sehari.
“Sebenarnya saya pun tidak tahu bagaimana untuk berkongsi mengenai keadaannya kepada orang luar dan rakan-rakan sebelum ini. Saya tidak dapat menahan kesedihan setiap kali berbicara dengan teringat mengenainya.
“Sebaik dibenarkan keluar selepas melahirkannya pada Disember tahun lalu, saya diberitahu doktor mengenai jantungnya tidak berfungsi dengan normal. Bayangkan perasaan saya tatkala mendapat perkhabaran itu,” katanya.
Bagaimanapun, semalam Hunny akhirnya bersuara mengenainya di media sosial dan memuat naik foto Adam menjalani prosedur rawatan kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurutnya, tiada apa membimbangkan dan proses berjalan dengan lancar.
“Syukur prosedur kali ini berjalan dengan baik dan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mendoakan. Selepas ini, dia perlu menjalani dua pembedahan besar apabila besar sedikit nanti,” katanya.
Semalam, Hunny mendedahkan anak bongsunya berusia tujuh bulan itu dimasukkan di IJN bagi menjalani prosedur rawatan jantung.
Menurutnya, Adam memiliki jantung yang kompleks dan tidak berfungsi dengan normal.
Penyakit itu dipanggil Double Inlet Left Ventricle dan Adam perlu menjalani pembedahan dikenali Stent PDA buat kali kedua di IJN. – myMetro Online