KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) catat kutipan caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) RM260.9 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2018, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata sehingga 20 Julai, sejumlah RM6.39 juta telah diberikan kepada pekerja yang telah disahkan kehilangan pekerjaan dan layak menerima bantuan interim.
Manakala sehingga 13 Julai, 749 orang telah berjaya ditempatkan pekerjaan semula selepas mengikuti perkhidmatan pekerjaan oleh PERKESO.
“Sejak SIP diwujudkan, PERKESO telah menerima 14, 291 permohonan bantuan interim dan daripada jumlah tersebut, hanya 10,681 individu layak menerima bantuan itu,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Menara PERKESO di sini, hari ini.
SIP yang diperkenalkan agensi itu adalah satu jaringan keselamatan sosial bagi membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat diberhentikan atau syarikat mereka ditutup.
Menerusi skim itu, mereka yang kehilangan pekerjaan dan layak bukan hanya menerima bantuan kewangan interim sejumlah RM600 sebulan untuk tempoh maksimum tiga bulan, malah sokongan lain seperti bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan.
“Sebanyak 2,067 permohonan ditolak disebabkan kehilangan pekerjaan berlaku pada 2017, iaitu sebelum Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dikuatkuasakan, dan juga pekerja yang berhenti secara sukarela,” jelas Mahfuz.
Lawatan tersebut adalah lawatan pertama Mahfuz sejak dilantik menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia, bertujuan mengenali dengan lebih dekat pengurusan tertinggi PERKESO dan peranan serta tanggungjawab PERKESO kepada orang ramai terutamanya golongan majikan dan pekerja.
Semasa lawatan kerja itu, Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Dr. Aseh Che Amat dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed turut memberi taklimat berkenaan fungsi, peranan dan hala tuju Perkeso yang melaksanakan program-program perlindungan keselamatan sosial.
Mengulas mengenai pekerja yang ditolak permohonan SIP mereka, Mohammed Azman berkata penolakan tersebut berikutan pekerja tersebut telah diberhentikan kerja sebelum Akta 800 diwujudkan.
“Caruman SIP memerlukan tempoh matang sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pencarum boleh membuat tuntutan. Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2019, jika caruman mereka tidak cukup 12 bulan, PERKESO masih boleh membantu mereka untuk carian pekerjaan.
“Walaupun individu itu tidak layak untuk menerima bayaran interim, kita boleh bantu mereka untuk mencari kerja dan melatih mereka. Perkara ini telah sedia ada dalam akta dan fungsinya boleh dilaksanakan di bawah SIP,” katanya. – BERNAMA