UNIK… Pengalaman dan kemahiran pakar perubatan alternatif Islam berkaitan sihir atau gangguan makhluk halus mungkin perlu bagi bantu proses pembuktian kes Mahkamah Syariah di Selangor.
Menurut Ketua Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain, penglibatan golongan itu sedang dikaji dengan teliti dari sudut perundangan termasuklah pandangan pelbagai pihak mengenai pengurusan kes yang bersifat mistik tersebut.
“Kita buat seminar berhubung isu Mahkamah Syariah yang perlu hakim diberi pendedahan umum keterangan saksi melibatkan kes sihir dan gangguan makhluk halus serta kaedah perubatan alternatif Islam ada di Malaysia.
“Mengambil kira realiti pengendalian kes-kes di Mahkamah Syariah serta pengalaman hakim-hakim Syarie, memang wujud kes yang ada unsur mistik tetapi tiada kaedah untuk mengesahkannya pembuktian,” katanya.
Mohamad Adib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Syariah Melibatkan Gangguan Makhluk Halus di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, di Shah Alam semalam.
Tambah beliau, penglibatan golongan pakar dalam bidang perubatan alternatif Islam itu dilihat semakin relevan kerana perkara yang melibatkan sihir serta ghaib itu pada kebiasaannya tidak dapat dilihat menerusi mata kasar.
Justeru, dalam konteks perbicaraan kes ini di Mahkamah Syariah, jelasnya, hakim tidak boleh lagi menyamakan prosedur bagi kes yang ada melibatkan sihir serta gangguan makhluk halus ini dengan prosedur kes biasa lain.
“Ini kerana ia mewujudkan ketidakadilan kepada pihak yang terlibat dalam sesuatu perbicaraan. Sebagai contoh di dalam kes cerai, bagaimana kita hendak mengenal pasti dakwaan sebelah pihak bahawa wujudnya pihak ketiga.
“Ia membabitkan penggunaan makhluk halus yang menyebabkan kepada berlakunya perceraian pasangan yang memang tiada masalah besar dalam rumah tangga selama ini,” ujar Mohamad Adib. – Agensi/Mynewshub.tv
* Video bawah sekadar hiasan…

