JIKA anda sering melalui lebuh raya Damansara-Puchong (LDP), pastinya tahu bahawa Western Digital, ada sebuah kilang di sebelah laluan tersebut, yang terletak berhampiran Kelana Jaya.
Syarikat antarabangsa yang terkenal di Petaling Jaya, Selangor dengan pengeluaran peralatan storan digital berasaskan kepada HDD itu bagaimanapun bakal ditutup tidak lama lagi.
Difahamkan penutupan dibuat selepas Western Digital mahu fokus keluarkan lebih banyak produk berasaskan SSD dan NAND Flash berbanding HDD yang dihasilkan kilang itu selama ini.
Dari kini sehingga penghujung tahun 2019, masih terdapat banyak masa lagi untuk para pekerja di kilang tersebut untuk mendapatkan mana-mana pekerjaan baharu yang ada di pasaran.
Tetapi Western Digital berkata mereka akan buat beberapa pengumuman untuk bantu pekerja mereka cari kerja baru, seperti perkenalkan pakej pemutusan, dan juga kursus kemahiran semula.
Ini untuk membolehkan mereka terus kekal kompetitif di tempat kerja baharu mereka kelak. Penutupan kilang ini juga bakal beri peluang buat Western Digital menambahkan lagi rangkaian pengeluaran SSD.
Secara kebetulan ia dihasilkan kilang Western Digital yang ada di Pulau Pinang. Untuk pengetahuan anda, Malaysia merupakan negara terawal yang terlibat dengan penghasilan cakera keras Western Digital.
Syarikat ini turut mempunyai dua buah lagi kilang yang bertapak di Johor dan Sarawak. – MYNEWSHUB.TV

