KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mempunyai Ketua Pegawai Integriti yang dipinjamkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam syarikat itu.
Sehubungan itu, Prasarana mengarahkan pengurusan kanannya melaporkan kepada Ketua Pegawai Integriti itu jika wujud sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
“Ketua Pegawai Integriti Prasarana adalah pegawai bertauliah integriti yang dipinjam dari SPRM,” kata Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana dalam satu kenyataan media hari ini.
Media semalam melaporkan SPRM menjalankan siasatan terhadap ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan serta jururunding, kontraktor, dan rakan pelaksana projek (PDP) yang terlibat dalam projek LRT3.
Terdahulu, Prasarana menegaskan syarikat itu akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan mana-mana agensi yang menjalankan penyiasatan keatas projek LRT3.
“Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan syarikat memandang berat terhadap sebarang salahlaku yang menjejaskan integriti dan nama baik syarikat.
“Ia turut menyatakan pendirian bahawa ia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam apa jua siasatan yang melibatkan organisasi berkenaan,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.TV

