KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) sedang mengenal pasti keberkesanan institusi pengajian tahfiz daripada pelbagai aspek menerusi kajian yang dijalankan bermula Mac lalu hingga Ogos tahun depan.
Kajian ke Atas Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia itu merangkumi aspek pembangunan potensi pelajar, kebolehupayaan dan kompetensi tenaga pengajar, keberkesanan pengurusan serta pencapaian alumni atau graduan institusi pengajian tahfiz.
Inisiatif IYRES di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dilaksanakan berikutan kesedaran mengenai pentingnya fungsi dan peranan institusi pengajian tahfiz yang beroperasi secara rasmi bermula 1997 sebagai medan ilmu bagi membentuk sahsiah belia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr Zainah Shariff, kerjasama daripada semua pihak dalam memberi maklum balas akan menyumbang kepada hasil dapatan untuk kerajaan merangka perancangan terbaik bagi pembangunan dan pengurusan institusi tahfiz pada masa akan datang.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas berhubung keberkesanan institusi pengajian tahfiz daripada pihak berkepentingan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta mufti dan ulama.
“Diharapkan maklumat yang diperolehi daripada pemegang taruh dapat mengenal pasti jangkaan dan pencapaian institusi pengajian tahfiz di negara ini.
“Usaha ini penting kerana melalui kajian lalu menyatakan bahawa kewujudan institusi pengajian tahfiz dalam negara juga dilihat sebagai pemangkin ke arah melahirkan golongan profesional dalam kalangan masyarakatIslam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehinggga Disember 2017, terdapat 660 institusi pengajian tahfiz swasta yang berdaftar dengan JAKIM, Yayasan Islam negeri dan MAIN.
Bagaimanapun, Zainah mengakui cabaran besar dalam pelaksanaan kajian itu ialah dari segi mengumpulkan maklumat mengenai bilangan sebenar institusi berkenaan.
Ini kerana, katanya terdapat institusi pengajian tahfiz yang ditubuhkan secara persendirian tanpa kelulusan pihak berwajib dan tidakdidaftarkan.
Beliau berkata, atas keprihatinan itu, IYRES mengharapkan kerjasama daripada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan institusi pengajian tahfiz termasuk ibu bapa supaya turut menyumbang input berkaitan.
“Mereka yang mempunyai sebarang idea untuk dikongsikan, boleh memberikan input kepada [email protected] atas tajuk `Input Tahfiz’.
“Pastinya, generasi anak muda yang berada di institusi tahfiz akan dapat diserlahkanpotensimereka untuk menjadi agen penting kepada pembangunan negara selaras dengan kumpulan sasar dan juga bidang keutamaan dalam Dasar Belia Malaysia,” katanya.
IYRES adalah sebuah pusat penyelidikan nasional yang mengkaji pelbagai aspek aliran dan pembangunan generasi muda dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. – BH Online