AMMAN/BEIRUT: Jordan campur tangan bagi menghalang keganasan lanjut yang menjurus satu lagi gelombang pelarian merentasi sempadannya dengan Syria semalam, menjadi orang tengah rundingan baharu antara pemberontak dan Russia untuk gencatan senjata di barat daya negara itu.
Jordan membantu rundingan Sabtu lalu ketika tentera rejim merampas lebih banyak kawasan dalam tentangannya ketika pemberontak di sesetengah kawasan tewas dan rentetan pekan dan perkampungan menerima pemerintahan kerajaan susulan pengeboman besar-besaran.
Perbincangan semalam agak sukar, kata sumber diplomatik rapat dengan rundingan. Perunding pembangkang berkata, mereka hanya menerima satu perjanjian yang menjadikan Jordan penjamin keselamatan di wilayah Deraa, menempatkan 800,000 penduduk awam dan menambah, serangan udara berterusan ketika rundingan melemahkan kepercayaan dalam proses itu.
Pertempuran dan pengeboman sudah reda semalaman, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), namun berlaku semula semalam di sekitar Tafas, barat daya Deraa, bersama serangan udara besar-besaran.
Tentangan Presiden Bashar al-Assad di barat daya menyasar mengambil alih satu daripada dua kubu kuat pembangkang di Syria, satu lagi Idlib dan kawasan berhampiran di barat laut.
Tentera Assad merampas wilayah terkepung terakhir berhampiran Damsyik dan Homs awal tahun ini.
Kawasan barat daya Syria adalah satu ‘zon gencatan senjata’ dipersetujui Russia, Jordan dan Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.
Washington memberi amaran, ia akan bertindak balas terhadap pelanggaran perjanjian itu namun tidak melakukan apa-apa setakat ini. -Reuters