JAKARTA – Jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia dijadual dibawa pulang ke Malaysia, esok.
Jenazah Siti Nur Ismawida, 30 tahun kini ditempatkan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Provinsi NTB di Mataram.
Suami mangsa, Mohd Hafiz Mohd Kassim telah tiba di Lombok pada 11.45 pagi tadi bagi menguruskan urusan membawa pulang jenazah.
Menurut Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan, kehadiran suami mangsa dan pegawai-pegawai kedutaan di Mataram hari ini itu akan melancarkan proses membawa pulang jenazah.
“Ketika ini beberapa urusan dokumentasi sedang dijalankan , antaranya berkaitan pengeluaran Sijil Perakuan Cemas dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu menurut sumber kedutaan, jenazah Allahyarham akan dibawa dengan penerbangan Garuda jam 9 pagi dari Lombok ke Jakarta, sebelum diterbangkan dari Jakarta ke Kuala Lumpur.
“Dari Lombok ke Jakarta adalah menerusi penerbangan ehsan pihak Garuda dan kerajaan Indonesia manakala jadual penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur setakat ini belum disahkan masa dan pesawatnya,” kata sumber itu.
Allahyarham Siti Nur Ismawida dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 6.4 skala Richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi semalam.
Kejadian gempa itu setakat ini telah mengorbankan 14 orang, manakala beratus dilaporkan cedera dan turut memusnahkan lebih seribu rumah dan bangunan.- BERNAMA

