SINIS… Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi mencuit hati ribuan peserta program Himpunan Kebangkitan Ummah di ibu negara hari ini apabila ajak hadirin bertepuk.
Ungkapan tular dalam kalangan netizen itu diucapkan beliau sebaik mengulas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto kempen Pilihan Raya Umum (PRU) kepada rakyat dengan beri pelbagai dalih.
“Mereka pernah kata konon jika PH berjaya tawan Putrajaya, harga minyak akan turun… haa… tepuk!” katanya sambil disambut tepukan hampir 10,000 peserta perhimpunan berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman.
Ungkapan ‘Haa… Tepuk!’ itu kini jadi ikutan khasnya netizen anti-PH sebagai bahan sindiran apabila membicarakan janji manis kerajaan baharu yang sangat indah namun gagal ditunaikan konon sebab negara berhutang RM1 trilion.
Himpunan julung kali itu turut lakar sejarah apabila disertai bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang akhir-akhir ini sering kritik PH dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
Meskipun hari hujan, kehadiran makin bertambah untuk bersama-sama bangkit dalam menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan hak Melayu dan Islam gagal ditangani oleh kerajaan PH.
Antara tuntutan mereka ialah bantah tindakan biadab penyokong PH sering pertikai kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan tolak Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan.
Perhimpunan di Kampung Bharu itu yang bertema ‘Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam’ dimulakan dengan bacaan al-Fatihah dan laungan ‘Allahu Akbar’. – Agensi/Mynewshub.TV