BERSEJARAH… Presiden Filipina, Rodrigo Duterte meluluskan undang-undang baharu yang dinanti-nantikan sekian lama, bagi pentadbiran autonomi minoriti Islam di selatan negara itu.
Muslim di wilayah selatan Filipina bakal bentuk pemerintahan sendiri menjelang tahun 2022 dan ia dilihat sebagai langkah tangani masalah golongan ekstremis dan hapus konflik pemisah selama setengah abad yang berlaku di situ.
Duterte dikatakan bersetuju menandatangani undang-undang tersebut selepas lawatan ke Marawi yang pernah bergolak tahun lalu. Ia difahamkan mengambil model kejayaan undang-undang yang sama di Aceh, Indonesia.
Pengerusi gerakan pemisah iaitu Barisan Pembebasan Islam Moro, Ebrahim Murad berkata bahawa beliau yakin undang-undang itu akan bawa kumpulan pemisah untuk kembali ke arena politik negara tersebut tanpa senjata.

Dikenali sebagai Undang-Undang Organik Bangsamoro, ia malahan mendapat sokongan majoriti penduduk Islam, sekali gus menyukarkan pelampau asing bagi membentuk pakatan tempatan berpisah daripada kawalan Filipina.
Untuk rekod, kawasan Bangsamoro termasuk sebahagian Mindanao, pulau kedua terbesar negara itu, dan rangkaian puluhan kepulauan kecil ke barat. Dianggarkan lima juta penduduk Islam mendiami wilayah miskin tersebut.
Istilah Moro digunakan penjajah Sepanyol dalam sebutan tempatan bagi menyamakan pemberontakan anti-Kristian oleh masyarakat Muslim di situ seumpama etnik Moor di Maghribi sebelum Filipina merdeka. – Mynewshub.TV

