KUALA LUMPUR – Keputusan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung perkhidmatan e-hailing menimbulkan ketidakpuasan hati semua pihak termasuk pemandu kereta e-hailing.
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd. Hussain yang membuat dakwaan itu berkata, satu perhimpunan aman akan diadakan oleh warga teksi pada 16 Julai ini di Parlimen bagi membantah keputusan Menteri Pengangkutan tersebut.
“Perhimpunan aman itu dipercayai dianjurkan oleh seluruh warga teksi tanpa menamakan persatuan sebagai penganjur.
“Saya difahamkan perhimpunan itu tetap diadakan diatas ketidakpuasan hati seluruh warga teksi terhadap cara dan pendirian Anthony Loke.
“Malah keputusan yang dibuat baru-baru ini jelas membuktikan YB Menteri terlalu bergantung kepada laporan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kamarudin berkata, beliau sedia maklum keputusan yang diumumkan sebelum Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan sebelum Anthony Loke dilantik menjadi Menteri Pengangkutan.
Kata beliau, Anthony Loke dilihat tidak sensitif dengan masalah industri teksi dan beliau gagal mengadakan sebarang perbincangan awal dengan wakil-wakil persatuan teksi bagi mencari jalan penyelesaian.
Kata beliau, Anthony Loke sebaliknya mengekalkan pegawai-pegawai SPAD yang jelas selama ini tidak mampu membawa sebarang pembaharuan dan mengguna pakai laporan SPAD.
“Tindakan Anthony Loke bukan sahaja tidak memuaskan hati warga teksi, malah kini membuka ruang kepada pihak yang melanggar undang-undang untuk merasa diri mereka berhak mempertikaikan keputusan Kementerian Pengangkutan.
“Sepatutnya Anthony Loke perlu menemui kami dan mengadakan perbincangan agar keputusan yang dibuat lebih dihormati, kami bukan mahu e-hailing diharamkan,” katanya.
Anthony Loke pada 11 Julai lalu mengumumkan perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula esok melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017.
Antara syarat yang ditetapkan adalah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).
Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dipetik sebagai berkata: “Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti.” – Mynewshub.tv