BONGKAR… Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran kekecohan sidang Dewan Rakyat semalam sebagai bukti tiada integriti dalam kepimpinan mereka.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat di Johor itu mendedahkan bahawa insiden berlaku disebabkan isu pelantikan Yang Dipertua adalah jelas tidak ikut peraturan dewan apabila tiada pun notis dua minggu awal yang dikemukakan.
Kata Mohd. Puad dalam catatan menerusi akaun sosial Facebooknya, hal tersebut tercetus bukan soal orangnya yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat tetapi peraturannya yang tidak dipatuhi oleh pihak pentadbiran PH sendiri.
“Sepatutnya notis 14 hari dihantar kepada Setiausaha Dewan siapa nama yang dicadangkan, maka wajar sekali ahli BN dan PAS keluar Dewan kerana Kerajaan PH semakin galak guna law of the jungle bukan rule of law,” katanya.
Ujar beliau, rakyat perlu bangkit menentang kemungkaran Kerajaan PH kerana terbukti dalam isu paling mudah pun pihak pemerintah gagal mengikut undang-undang ditetapkan tetapi sengaja pilih melaksanakan hukum rimba.
“Soal intergriti tolak ke tepi, buat keputusan sesuka hati, buat perlantikan juga sesuka hati. ‘Malaysia Baru’ apa ini?” soal Puad merujuk pelantikan kontroversi Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu turut mengimbau kes pengunduran secara mengejut Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) bulan lalu yang segera digantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
“Satu lagi contoh, kenapa orang seperti Wahid yang berintegriti ditekan untuk tinggalkan PNB walhal dia bukan pentaksub tegar. Sebab itu dia minta tidak disenaraikan dalam barisan Kabinet terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jawatannya di PNB diambil alih oleh Zeti sedangkan suami Zeti dikatakan pemilik syarikat Azair yang mendapat kontrak besar projek ‘perigi tiub’ iaitu pembekalan air untuk sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Projek tersebut bermasalah kerana banyak perigi yang tidak mengeluarkan air atau air keluar tetapi berbau busuk. Syarikat Azair pula dikatakan disambung kontrak maintenance (penyelenggaraan) walaupun projek itu gagal.”
Bidas Puad, kalau Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa letak jawatan menteri kerana isu NFC melibatkan suaminya meskipun mahkamah kemudian putuskan Rafizi Ramli bersalah, maka kenapa Zeti tidak berbuat perkara sama.
“Justeru kita meminta Kementerian Pendidikan dan menterinya, Dr. Mazlee Malek sendiri buat forensik dalaman terhadap projek Perigi Tiub ini. Dedahkan kalau betul PH bermaruah,” tegas beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.TV

