DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang pada September.
Dalam kenyataan itu Anwar berkata keputusan dicapai selepas berbincang dengan presiden parti yang juga isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain.
Keputusan ini dibuat ekoran tekanan dari dalam parti yang mahu Anwar menerajui parti sebagai presiden, jawatan yang sah menurut perlembagaan dan bukan ketua umum yang diwujudkan untuknya.
Anwar yang sudah diampunkan dan bebas daripada hukuman penjara kini diharapkan untuk memainkan peranan memimpin PKR dan juga sebagai persediaan untuk bertanding kerusi Parlimen dan mengambil alih jawatan perdana menteri.
Pada masa yang sama, Anwar juga diperlukan untuk mengimbangi kuasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, terutama oleh pemimpin-pemimpin dalam PKR.
Mahathir dianggap semakin melemahkan pengaruh Anwar dan PKR melalui tindakannya sebagai perdana menteri, sekaligus menimbulkan persoalan tentang kesediaannya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti dijanjikan.
Pada masa yang sama, Anwar juga bakal mampu mengimbangi pengaruh Azmin yang semakin kukuh dalam parti dan dilihat mampu mencabar Wan Azizah sebagai presiden dalam pemilihan akan datang.
Pengaruh Azmin juga kekal kukuh apabila beliau dilantik sebagai menteri menjaga hal ehwal ekonomi, dan berjaya memastikan pemimpin pilihannya dilantik sebagai menteri besar Selangor.
Azmin selama ini dianggap menguasai faksi terkuat dalam PKR yang dibantu oleh kedudukannya sebagai menteri besar Selangor sebelum ini. – Mynewshub.tv