JAKARTA – Demi tunjuk kesungguhannya bersaing untuk dapat tempat di parlimen tahun depan, pengasas dan ketua kumpulan muzik Dewa 19, Ahmad Dhani, menukar namanya secara rasmi.
Turut terbabit isterinya Mulan Jameela. Menurut laporan media tempatan, dokumen pengenalan diri penyanyi itu dikenali sebagai Ahmad Dhani Prasetyo, manakala isterinya secara rasmi memiliki nama Mulan Jameela.
Ia mungkin bukan sesuatu yang aneh buat peminat dunia seni di Indonesia apabila artis ubah nama sendiri, namun ia sebenarnya suatu perubahan besar terhadap pasangan suami isteri selebriti terkenal berkenaan.
Untuk makluman, mungkin ramai tida tahu bahawa nama rasmi Ahmad Dhani pada kad pengenalannya itu ialah Dhani Ahmad Prasetyo, manakala Mulan ialah Raden Terry Tanti Wulansari.
Penukaran nama itu dibuat di Mahkamah Daerah Jakarta semalam dan menurut Ahmad Dhani, ia hanya untuk jangka pendek bagi memenuhi syaratnya untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum pada 19 April 2019.
Jika tiada aral melintang Ahmad Dhani, 46, akan bertanding menjadi calon sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk kerusi Surabaya, wilayah Jawa Timur, manakala Mulan di Garut.
“Saya mencalonkan diri di Daerah Pemilihan 1 Surabaya, Mulan pula di Garut. Nama kami ditukar agar lebih dikenali oleh masyarakat Indonesia,” kata Ahmad Dhani seperti dipetik majalah berpengaruh Tempo.
Menurut beliau lagi, rancangan untuk tukar nama sendiri secara rasmi melalui perbicaraan pihak mahkamah sudah dirancang sejak sekian lama, namun hanya baru berjaya dilaksanakan semalam.
“Ayah saya memberi nama Dhani Ahmad Prasetyo, tapi menurut peribadi adabnya nama Ahmad di depan,” katanya. Dalam prosiding, hakim meluluskan permohonan bekas suami Maia Estanty itu dan Mulan.
Menurut hakim, permohonan itu diluluskan kerana ia memang tidak menyalahi undang-undang. Sementara itu, Ahmad Dhani sekali lagi akan menjual rumahnya sebagai tanda sokongan untuk partinya, Gerindra.
Ini termasuk memenangkan Presiden Partinya, Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia baharu mengalahkan Joko Widodo dalam pemilihan akan datang. Ia percubaan kali kedua bekas panglima angkatan tentera Indonesia itu.
“Kami siap menjual rumah untuk kemenangan Pak Prabowo,” katanya yang popular dengan lagu Hadapi Dengan Senyuman, Larut dan Pupus itu.
Dua tahun lalu, Ahmad Dhani pernah nekad untuk menjual hartanya termasuk kenderaan dan rumah jika tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk bertanding bagi merebut jawatan gabenor Jakarta.
Ketika itu jawatan tersebut disandang tokoh popular di Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok. Bagaimanapun Ahmad Dhani kemudian membatalkan hasratnya. – Agensi/Mynewshub.TV