SUNGAI PETANI – Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tikam Batu – Kota Kuala Muda berhampiran Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, di sini, pukul 11.45 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt. Sazalee Adam berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Adli Mat Akhir, 20, berasal dari Kampung Paya Kercut, Tikam Batu; dan Amir Amirullah Noor Azman, 17, dari Taman Semarak, Sungai Petani.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Amir Amirullah yang dalam perjalanan menghala ke Kota Kuala Muda, memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Mohamad Adli yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris.
“Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini, untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA

