FILEM sekual Hantu Kak Limah yang sering menjadi kegemaran penonton bakal menampilkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida menerusi filem arahan Mamat Khalid itu.
Menurut Penerbit Eksekutifnya iaitu Gayatri Su-Lin Pillai, walaupun Vida sekadar penampilan istimewa sahaja, tetapi penonton tetap akan terhibur dengan aksi bersahajanya.

“Saya dan Mamat Khalid sebenarnya sudah lama mengenali Vida sebelum beliau terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini.
“Apabila kami menawarkannya tawaran berlakon dia bersetuju walaupun peranannya sekadar penampilan istimewa namun apa yang boleh saya katakan Vida cukup meninggalkan kesan dalam filem itu.
“Saya tidak boleh dedahkan apa peranannya dalam filem itu… Anda kena tonton sendiri nanti apabila ia ditayangkan,” katanya ketika ditemui oleh pihak mStar Online dalam majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah semalam.

Antara pelakon yang membarisi filem kegemaran ramai itu ialah Delimawati, Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Jue Aziz, Ropie, Mus May, Pekin Ibrahim, Sharwani dan TJ Isa.
Pada 9 Ogos ini, penonton bakal menyaksikan ‘kepulangan’ Kak Limah di pawagam seluruh Malaysia.
Selain Vida, ada beberapa lagi penampilan khas yang disajikan dalam filem berkenaan antaranya ialah primadona negara, Erra Fazira dan Sabri Yunus.
Walaupun fenomena Hantu Kak Limah sudah berlanjutan kira-kira selama lapan tahun, disebabkan sokongan peminat, ia membuatkan Gayatri yakin untuk menghasilkan sambungan filem berkenaan.
Dalam masa yang sama, kekuatan skrip yang ditulis sendiri oleh Mamat Khalid turut membuatkan dia bertambah yakin bahawa kisah kali ini akan diminati oleh penonton.
“Apabila saya membaca skrip yang ditulis oleh Mamat Khalid saya tertarik…ia ringkas tetapi menghiburkan.
“Filem sebelum ini pun meninggalkan impak yang sangat mendalam sehinggakan banyak dialog-dialognya masih jadi ingatan dan digunakan dalam perbualan seharian.
“Skrip kali ini juga ada elemen sama yang akan berbekas di hati penonton,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Mamat Khalid tidak asing lagi dengan naskah trilogi Kampung Pisang iaitu filem Zombie Kampung Pisang (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin Mon Jin Pakai Toncit (2013).
Filem pertama Hantu Kak Limah Balik Rumah pada 2010 lalu telah membuatkan filem itu kuat selepas mereka berjaya mengutip sebanyak RM8 juta sepanjang ditayangkan. – MYNEWSHUB.CC/AH