KLANG – Pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu adalah satu suntikan tenaga muda yang dapat meneruskan legasi kemajuan dan kesejahteraan negeri ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata ketokohan dan kewibawaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu diyakini dapat menguruskan kerajaan negeri memandangkan pengalaman Amirudin yang telah dua penggal menjadi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Saya sendiri yakin (dengan Amirudin) kerana saya melihat (keupayaannya) dalam barisan Exco serta sebagai ADUN dan khidmat beliau cukup baik dan selaras dengan kehendak rakyat.
“Saya gembira dan bersyukur kerana proses pelantikan pengganti saya berjalan dengan baik serta lancar dan ini dapat menjamin kestabilan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar di Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Amirudin, 38, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Mohamed Azmin, yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 21 Mei lepas.
Ditanya mengenai tindakan pihak tertentu mempertikai pelantikan Amirudin kerana beliau merupakan anak kelahiran Johor, Mohamed Azmin berkata isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana ADUN Sungai Tua itu telah dipilih rakyat untuk mewakili Selangor.
Mohamed Azmin berkata gabungan parti dalam Pakatan Harapan telah membincangkan hal itu dengan teliti dan mencapai kesepakatan bahawa Amirudin adalah pengganti yang layak.
“Kita harus memberi laluan kepada Amirudin (sebagai pengganti) dan beri peluang kepadanya untuk menjadi menteri besar. Dengan sokongan dan dokongan semua Exco dan ADUN, saya yakin beliau dapat menjadi menteri besar yang baik,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad hari ini bahawa beliau adalah satu-satunya calon menteri besar yang mendapat sokongan majoriti kepimpinan PH, Mohamed Azmin berkata: “Saya tidak akan memberi sebarang ulasan, biar pihak parti berurusan dengannya.”
Beliau berkata pihaknya juga tidak mahu terjebak dalam polemik kerana perbincangan mengenai pemilihan Amirudin sebagai menteri besar sebelum ini berjalan dengan baik demi memastikan kesinambungan kemajuan dan kestabilan Selangor.
Berhubung keperluan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mempunyai seorang timbalan menteri, Mohamed Azmin berkata beliau maklum skop portfolio yang dipegangnya itu agak luas, namun sebarang perkembangan lanjut akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – BERNAMA