PELAKON, Syatilla Melvin atau lebih mesra disapa sebagai Tilla tidak menolak seandainya dia dan suami, Shaheizy Sam dikurniakan rezeki cahaya mata kedua.
Kata Tilla, dia dan Sam sedang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua yang sekaligus adik buat anak lelakinya iaitu Syeriv Samheizy.
Pun begitu pasangan sama cantik sama padan itu dikatakan tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran mahupun terlalu merancang namun yakin dan pasti ada rezeki buat mereka .
“Kami memang rasa nak cepat untuk ada anak kedua dan kini sedang berusaha. Rezeki anak itu adalah rahsia Allah. Kami tidaklah terlalu merancang atau apa, tapi kalau ada, kami terima.
“Kalau belum ada rezeki, kami cuba usaha lagi. Walaupun keluarga kecil kami hanya bertiga, ia tetap meriah juga sebenarnya,”katanya dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Tilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin berkata dia juga bersyukur kerana keluarganya dan keluarga sebelah suami adalah keluarga besar.
“Keluarga kami adalah keluarga besar dan sentiasa meriah. Jadi, kami sekeluarga tak pernah ada rasa sunyi,” katanya.
Sam dan Tilla telah berkahwin pada Februari 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada Mei 2017 yang kini berusia setahun sebulan.
Tiga beranak itu merupakan selebriti yang sering menjadi tumpuan dalam kalangan netizen dek kerana telatah comel anak mereka yang pasti membuatkan sesiapa pun akan jatuh hati. – MYNEWSHUB.CC