ISU melibatkan penyanyi, Haqiem Rusli yang mengejutkan umum apabila beri ‘bayangan’ seolah-olah dirinya bakal bersara daripada bidang nyanyian tampak terus menjadi perbincangan hangat.
Perkara tersebut pada masa sama turut mendapat perhatian rakan-rakan artis dan teman seangkatan penyanyi itu yang mana mengaku sungguh terkejut malah terkilan dengan pengumuman berkenaan.
Menyifatkan tidak semua anak seni bertuah seperti Haqiem, rata-rata mereka berharap agar penyanyi itu membuat keputusan secara rasional dan bukan mengikut emosi sekiranya benar mahu berundur daripada bidang suara.
Pada masa sama, mereka juga berharap, pelantun lagu Tergantung Sepi itu akan terus kental dan tabah mengharungi cabaran supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Wany Hasrita memberitahu Haqiem perlu lebih matang dan bertanggungjawab sebelum membuat sebarang kenyataan, terutama apabila membabitkan pelbagai pihak.
“Sebagai kawan, saya tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Memang dia berhak menentukan masa depannya, tetapi perkara membabitkan rezeki jangan dibuat main-main.
“Bimbang jika kerap diulangi akan menjadi doa. Bagaimana nanti jika ia jadi kenyataan, walhal hati masih berbelah bahagi? Disebabkan itu, sebelum beri sebarang kenyataan, fikir semasak-masaknya.
“Lihat juga pengorbanan mereka yang sentiasa di belakang untuk sokong kejayaan kita. Memang setiap kali berdepan dugaan, pelbagai perkara terlintas di fikiran.
“Setiap kali berlaku, saya akan pandang sekeliling dan lihat wajah mereka yang saya sayang terutama ibu. Semangat mereka buat saya kuat harungi apa sahaja dugaan dalam hidup,” katanya dipetik BH Online.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Luluh iaitu Khai Bahar pula berkata industri hiburan bakal kehilangan bakat muda berpotensi sekiranya penyanyi itu mengambil keputusan melupakan bidang yang menaikkan namanya.
“Saya berharap Haqiem tidak terbawa-bawa dengan perasaan. Bukan apa, saya bimbang kenyataan itu dikeluarkan ketika emosi tidak menentu. Tetapi jika benar dia mahu undur diri, ia kerugian besar.
“Dia mempunyai bakat yang hebat, malah disayangi peminat. Saya harap Haqiem tidak mensia-siakan harapan mereka yang menyokongnya. Pedulikan kata negatif, biarkan ia berlalu kerana kita perlu bangkit untuk buktikan kita tidak mudah lemah,” kata Khai Bahar.
Mengakui masih terkejut dengan kenyataan diberikan Haqiem itu, Syamel berkata, dia berdoa Haqiem memperoleh kekuatan untuk melawan masalah yang dihadapinya kerana penyanyi muda itu mempunyai bakat besar dan mampu melangkah jauh dalam industri muzik.
“Sayang jika peluang yang ada dilepaskan begitu sahaja. Apa juga keputusannya nanti, saya berharap ia membawa kebaikan untuk diri dan masa depannya. Tidak semua anak seni bertuah meraih peluang besar sepertinya.
“Saya percaya, Haqiem lebih tahu apa yang terbaik dirinya dan berharap apa juga keputusannya nanti akan diterima semua pihak dengan hati yang terbuka,” kata Syamel pula.
Sementara itu, Tajul juga juga tidak ketinggalan memberi kata-kata positif buat Haqiem dan pada masa yang sama berharap peminat memberikan penyanyi itu ruang dan masa untuk berfikir sedalam-dalamnya kerana ramai insan lain mengimpikan berada pada tempatnya.
“Jika pasti bersara adalah jalan terbaik, sebagai kawan, saya akan sentiasa menyokong. Memang sayang kerana keputusan itu dibuat ketika kerjayanya sedang meningkat.
“Lagipun, di luar sana, ramai remaja yang mahu jadi sepertinya. Mungkin ada hikmah di sebalik dugaan yang datang. Mungkin juga rezekinya akan lebih baik jika tidak lagi berada dalam bidang seni.
“Semua itu kerja Tuhan dan sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha mencari kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli ada memuat naik beberapa status di laman sosial miliknya yang menggambarkan dirinya agak kecewa.
Keadaan menjadi ‘huru-hara’ apabila penyanyi berusia 21 tahun itu mengumumkan bakal ‘berehat’ daripada media sosial dan memberi ‘bayangan’ seolah-olah dirinya akan bersara daripada bidang suara.
Baca: “Haqiem Kecewa, Kawan Baik Tikam Belakang” – Ibu
Juga: Didakwa ‘Bermasalah’, Haqiem Tampil Bersuara
Perkara tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan banyak spekulasi daripada pelbagai daripada peminat yang menganggap penyanyi pujaan mereka akan bersara.
Pun begitu, penyanyi itu menjelaskan bahawa dia hanya akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut pada Julai depan. – MYNEWSHUB.CC