KUALA LUMPUR – Polis memburu dua individu yang terlibat dalam rompakan bersenjata melibatkan wang tunai sebanyak RM17,500 di sebuah bank di Jalan Genting Klang, Setapak di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata dalam kejadian pukul 3.56 petang itu, seorang suspek bertopeng memasuki kawasan bank dan mengacukan objek menyerupai pistol ke arah kakitangan bank sebelum melarikan wang yang disimpan dalam salah satu laci kaunter bank dengan pantas.
“Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggunya dengan menaiki motosikal di luar bank dan dipercayai menuju ke arah ibu negara.
Tiada tembakan dilepaskan dan tujuh kakitangan bank serta dua pelanggan yang berada dalam bank ketika kejadian berkenaan tidak dicederakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan warga Nepal tanpa senjata sedang mengawal di kawasan pintu masuk manakala seorang lagi pengawal keselamatan warga tempatan yang mempunyai senjata api berada di bahagian dalam bank ketika kejadian
Mohamad Roy berkata pihaknya telah mengambil keterangan kakitangan bank itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar bank berkenaan bagi mengenal pasti identiti suspek yang berjaket dan turut mengenakan helmet.
“Siasatan awal juga mendapati suspek mengambil wang dari salah satu kaunter daripada tiga kaunter yang ditinggalkan oleh kakitangan kaunter tersebut yang sedang berurusan di bilik belakang,” katanya.
Katanya polis turut menyiasat semua kemungkinan termasuk pembabitan kakitangan bank serta pelanggan yang terdapat dalam kawasan bank ketika kejadian berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata. – BERNAMA

