KUALA LUMPUR – Seorang penjual burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai RM90, seutas jam tangan dan telefon bimbit milik seorang lelaki, Mei lepas.
Dalam kejadian pada 27 Mei itu, Mohd Nor Safwan Amiruddin, 28, bersama dua rakan yang masih bebas didakwa melakukan rompakan terhadap Muhammad Bukhari Abdullah, 22, yang tidak bekerja di sebuah rumah, di Jalan Kubur, Kg Changkat, Gombak, di sini kira-kira 2.30 petang.
Dia yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun Mohd Nor Safwan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia tidak berpendapatan tetap.
Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi serta menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

