NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam bertindak untuk menghalang pertempuran sengit dan dahsyat di pelabuhan utama di Yaman yang menjadi lokasi bagi bantuan kemanusiaan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, bertemu dengan Menteri Luar Yaman di ibu pejabat PBB di New York di tengah amaran serangan ke atas pelabuhan Hodeida yang dikawal pemberontak tidak dapat dielakkan lagi.
Guterrs berkata, wakilnya, Martin Griffiths, mengadakan rundingan penuh tekanan dengan pemberontak Houthi di Yaman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu untuk mencari jalan mengelakkan tindakan ketenteraan di Hodeida.
Ketika pertemuannya dengan Menteri Luar Yaman, Khaled Alyemany, Guterres menegaskan semua orang perlu menggandakan usaha mencari penyelesaian politik dan mengelakkan pertempuran sengit dan dahsyat di Hodeida, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
Sejak dua minggu lalu, tentera kerajaan yang dibantu pasukan antarabangsa menghampiri Hodeida, yang didakwa digunakan pemberontak Houthi untuk menyeludup senjata.
Majlis Keselamatan mengadakan pertemuan tertutup atas permintaan Britain selepas London memberitahu agensi bantuan ia menerima amaran dari Emiriah Arab Bersatu mengenai serangan itu.
PBB memberi amaran sehingga 250,000 penduduk berisiko jika pasukan antarabangsa meneruskan serangan besar-besaran untuk menawan semula pelabuhan di Laut Merah itu.
Ketua bantuan PBB, Mark Lowcock, berkata serangan ke atas Hodeida akan menjadi ‘bencana besar’ dan agensi bantuan berharap untuk kekal dan membuat penghantaran di Yaman, yang digambarkan badan dunia itu sebagai krisis kemanusiaan paling buruk dunia. – AFP/BH ONLINE

