KOTA KINABALU – Akibat menceroboh masuk ke kawasan larangan untuk mengambil bola golf, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Najuan Ibrahim Kimbol, 23, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pencerobohan.
Najuan bersama rakannya, Suari Rajesh Khana, 14, yang turut mengaku bersalah, didakwa melakukan kesalahan itu di Marina Golf Club Sutera Habour di sini, pada jam 3.26 petang, 31 Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, turut tidak mempunyai kad pengenalan diri, mahupun sijil kelahiran.
Dalam penghakimannya, Stephanie memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sejak tarikh dia ditahan dan selepas itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk pengusiran dan mengarahkan tertuduh kedua, Suari Rajesh dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak esok untuk membuat rayuan.
Mengikut fakta kes, mereka dikatakan menyelinap masuk ke padang golf di Sutera Habour dengan niat untuk mengambil bola golf, namun disedari pengawal keselamatan yang menahan dan menemui tujuh bola golf bersama mereka.
Kelab golf berkenaan adalah kawasan larangan khas dan hanya dibenarkan untuk ahli serta pekerja kontrak. – BH Online