PENGACARA, Nabil Ahmad mengakui akan bersikap terbuka menerima teguran dan pandangan yang diberikan penonton terhadap telefilem terbaru berjudul The Hantus.
Difahamkan, telefilem seram komedi itu akan bertemu para penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif mulai 15 Jun ini.
“Saya mengharapkan The Hantus akan menjadi bualan hangat netizen sekali gus tular di media sosial,” kata Nabil dipetik Harian Metro.
Kata Nabil, dia tidak kisah dikecam kerana cara itu pasti menarik orang ramai untuk menontonnya dan beranggapan kritikan netizen sebagai publisiti untuk mempopularkan telefilem tersebut.
“Mana tahu, selepas ini ada stesen televisyen lain berminat untuk melantik saya sebagai pengarah atau penulis skrip,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Nabil berkata dia akui mempunyai hubungan baik dengan pihak Astro namun menafikan menggunakan ‘orang dalam’ untuk menerbitkan telefilem itu.
“Memang saya mempunyai hubungan baik dengan Astro kerana menjadi pengacara, pelawak dan penyampai radio untuk program stesen berkenaan.
“Bagaimanapun, saya menggunakan saluran sah serta prosedur betul iaitu bermula dengan membentangkan idea kepada pihak Astro,” tambah Nabil.
The Hantus diinspirasikan daripada kisah seram tular seperti kereta Volkswagen kuning, Hantu Kak Limah dan misteri taman tema terbiar Mimaland.
Telefilem arahan Helmi Yusof itu dibintangi Alif Satar, Faizal Hussein, Hannah Delisha dan Khatijah Tan. – MYNEWSHUB.CC