SETIAP kejadian atap ciptaan Tuhan itu ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
Sama seperti keadaan fizikal kita, contohnya kulit telapak tangan dan kaki akan mengecut sebaik ia terendam lama di dalam air.
Baik sewaktu berenang mahupun sedang mencuci pinggan umpamanya, kulit kita pasti akan mengecut bak seperti buah anggur yang dikeringkan menjadi kismis.
Jadi pernahkah anda terfikir mengenai fenomena ini semua?
Secara dasarnya, kulit manusia akan kecut menyerupai kismis apabila ia berinteraksi dengan air, lebih-lebih lagi untuk jangka waktu yang lama.
Baik air bersuhu panas atau sejuk, rata-rata kita hairan namun menganggap perkara itu normal dan tiada berfaedah.
Jom kami dedahkan menurut fakta sains dan ini sebabnya kulit tangan dan kaki kamu mengecut apabila terkena air.
Biasanya ibu akan pekik kepada kita yang mana bunyinya seperti ini: “jangan mandi lama-lama kang kecut jari-jari tu.”
Maka apa yang sudah sebati dengan pemikiran kita adalah air apabila berinteraksi dengan tangan atau kulit kaki, ia akan membuatkan jari-jemari menjadi kecut.
Kecutnya boleh dilihat apabila kulit tangan kelihatan seolah berkedut dan akan menjadi normal semula apabila suhu badan mulai seimbang kembali.
Berkurun lalu, saintis mengandaikan kulit yang menjadi kecut adalah disebabkan tindak balas osmosis ke atas permukaan kulit itu sendiri namun, ia sebenarnya berkait rapat dengan sistem saraf manusia.
Oleh itu, seseorang yang lumpuh dan berendam di dalam air tidak akan mengalami sebarang kekecutan jari kerana saraf mereka sudah tidak berfungsi.
Pada tahun 2011, sebuah kajian telah diterbitkan dan para saintis bersetuju kulit jari-jemari yang kecut sebenarnya berfungsi untuk memantapkan daya cengkaman manusia.
Ini kerana apabila manusia berada di dalam air misalnya, kebarangkalian untuk kita cedera adalah besar dalam keadaan licin.
Kulit telapak yang mengecut ini mempunyai tekstur rendah dan tinggi. Pada bahagian tinggi, permukaan kulit jari tetap dalam keadaan kering.
Membuatkan air mengalir melalui tekstur yang rendah, erti kata lainnya, daya genggaman tangan juga semakin kuat andai kita perlu memegang barang dalam keadaan tangan basah.
Liku-kiku kecutan pada kulit itu akan bertindak seperti longkang yang menjadi laluan air supaya keadaan kulit lebih kering dan memudahkan pergerakan. – MYNEWSHUB.CC