BRASILIA – Masalah obesiti menjejaskan 18.9 peratus penduduk Brazil yang tinggal di bandaraya, manakala 54 peratus lagi mengalami masalah berat badan berlebihan, menurut data Kementerian Kesihatan yang diterbitkan pada Isnin.
Menurut Vigitel, kajian terhadap faktor risiko kesihatan dan penyakit kronik di seluruh negara, masalah obesiti mengalami peningkatan sebanyak 110 peratus dalam kalangan remaja antara tahun 2007 dan 2017.
Bagaimanapun, dari sudut positif, kajian mendapati terdapat peningkatan aktiviti fizikal sebanyak 24.1 peratus antara tahun 2009 dan 2017, selain penurunan penggunaan sodas dan minuman manis sebanyak 52.8 peratus antara tahun 2007 dan 2017.
Jumlah orang yang minum minuman manis turut menurun, terutamanya dalam kalangan orang dewasa berumur antara 25 dan 34 tahun serta mereka berusia lebih 65 tahun.
Aktiviti makan buah dan sayur pula meningkat sebanyak lima peratus antara tahun 2008 dan 2017.
Pengarah Kementerian Kawalan Penyakit Kronik, Fatima Marinho berkata “walaupun trend itu menunjukkan kestabilan dan pertumbuhan orang yang mengamalkan aktiviti fizikal dan memakan makanan lebih sihat, namun masih perlu berwaspada.”
“Obesiti dan berat badan berlebihan adalah punca kepada penyakit kronik, seperti hipertensi (darah tinggi) dan diabetes, yang merosakkan kesihatan penduduk dan keadaan itu sebenarnya boleh dielakkan,” tambahnya. – BERNAMA

