Sunday, December 8, 2024

Creating liberating content

Pemuda UMNO, PAS, MCA,...

PASIR PUTEH - Gabungan Pemuda UMNO, PAS, MCA dan MIC di atas satu...

401,105 Calon Duduki Peperiksaan...

KUALA LUMPUR - Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki...

Lagi Lokomotif KTMB Terbakar...

IPOH - Semua penumpang dan petugas tren Ekspres Rakyat 2, yang lokomotifnya terbakar...

Kaji Cara Percepat Bayaran...

KUCHING - Kerajaan akan meneliti prosedur dalamannya bagi mencari jalan untuk membolehkan kontraktor...

Ke Manakah Perginya ‘Duit Raya’ Anak Anda?

KUALA LUMPUR – 1 Syawal, hari yang paling bahagia dan bermakna buat seluruh umat Islam khususnya bagi golongan yang bergelar kanak-kanak.

Selain dapat menggayakan baju baharu, hari raya juga hari “murahnya rezeki mereka”. Masakan tidak, setiap kali bersalam, pasti ada yang akan menghulurkan sampul pelbagai corak yang biasanya akan diisi dengan “duit raya”. Nilai duit raya bergantung kepada siapa yang memberinya, mungkin wang kertas berwarna biru (RM1), merah (RM10) atau pun oren (RM20). Nilai RM50 dan RM100 mungkin jarang diberi sebagai duit raya untuk kanak-kanak.

Budaya mengutip duit raya yang popular di kalangan kanak-kanak ini tidak hanya tertumpu kepada saudara-mara bahkan mereka ligat mengunjungi jiran tetangga mahupun mana-mana kawasan perumahan bagi mengumpulkan sebanyak mungkin duit raya.

Malah, ada antaranya mampu mengutip sehingga ratusan, malah ribuan ringgit sepanjang bulan raya! Memandangkan nilai kutipan, budaya pemberian duit raya yang semakin menjadi amalan boleh dipositifkan untuk menyemai budaya menabung di kalangan kanak-kanak supaya wang yang diterima tidak dibazirkan begitu sahaja.

IBU BAPA GALAKKAN

“Memang didapati adanya trend dalam kalangan kanak-kanak mahupun remaja menggunakan duit raya untuk membeli permainan atau gajet mahal seperti PlayStation 4, telefon pintar atau barangan berjenama, dengan pengetahuan ibu bapa mereka.

“Paling membimbangkan apabila ada kes-kes tertentu ibu bapa tidak mengawasi duit raya yang diterima anak dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk membelanjakan duit raya itu.

“Yang penting pada ibu bapa, mereka tidak perlu menggeluarkan duit belanja untuk memenuhi keperluan anak sendiri. Senario ini sebenarnya merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan kerana ia seharusnya tidak berlaku pada usia muda kanak-kanak,” kata Pakar Kewangan Pengguna, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri kepada Bernama.

Perkembangan tidak sihat yang dilihat semakin merebak di kalangan kanak-kanak mahupun remaja ini antaranya turut berpunca daripada pendedahan gaya hidup mewah, taksub dengan barangan berjenama akibat terpengaruh rakan sebaya dan yang tular di media sosial.

Ini kerana, kebanyakannya tidak mahu dianggap sebagai “ketinggalan zaman” atau digelar ‘budak kampung’ di kalangan rakan-rakan sehingga menyebabkan sebahagian besarnya mula mementingkan kebendaan dalam tingkah laku mereka .

Menurut Mohamad Fazli, sikap sebegitu tidak boleh dipandang remeh kerana ia adalah “pintu utama” kepada pembentukan sikap boros berbelanja sejak dari awal usia lagi.

Disebabkan sumber kewangan keluarga yang terhad, ada kanak-kanak mahupun remaja menjadikan duit raya yang diperolehi setahun sekali itu sebagai sumber atau modal untuk mereka berbelanja dan memenuhi apa diidamkan selama ini.

FASA KRITIKAL

“Daripada pemerhatian, kebanyakan keadaan ini berlaku di kalangan anak yang berumur antara 9 hingga 17 tahun. Peringkat awal remaja hingga peringkat akhir remaja adalah fasa kritikal kerana pada usia ini mereka sudah pandai berbelanja untuk memenuhi kehendak sendiri.

“Duit raya yang diterima dibelanjakan kesemuanya, akhirnya mereka langsung tidak berupaya untuk menyimpan sedikit pun,” kata beliau yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketika ditanya mengapa ada ibu bapa begitu mudah membiarkan atau memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak mereka untuk membelanjakan wang raya bukan tujuan sepatutnya, beliau berkata ia berpunca daripada beberapa faktor tetapi paling utama adalah ‘sikap ambil mudah’.

Agak menyedihkan apabila masih ramai ibu bapa memandang remeh akan kepentingan membuka akaun simpanan khas untuk anak mereka. Malah, ada juga beranggapan bahawa ia masih terlalu awal untuk mengajar atau menyemai kanak-kanak dengan budaya menabung.

Bagi mereka, biarlah kanak-kanak ini ‘menikmati’ dahulu duit raya yang diterima walhal pada masa inilah sebenarnya merupakan masa terbaik mendidik anak dengan budaya menyimpan.

“Ada juga ibu bapa yang mempunyai sikap ‘boros berbelanja’, seperti kata pepatah, “bapa borek anak rintik”.


“Kalau semasa kecil sudah diajar berbelanja mewah semata-mata untuk kelihatan bergaya, bagaimana untuk memupuk tabiat menabung?” soalnya.

KANAK-KANAK HUTANG

Menjelaskan lebih lanjut, Mohamad Fazli berkata sikap ambil mudah ibu bapa adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan terutamanya dalam aspek perbelanjaan dan juga simpanan.

Malah, ada antara mereka langsung tidak mengetahui bagaimana caranya untuk menyediakan bajet keluarga, kaedah perbelanjaan dengan betul serta berhemah, justeru tidak memungkinkan menjadi contoh terbaik buat anak.

“Kesedaran berkaitan perkara ini harus bermula daripada ibu bapa itu sendiri. Mereka perlu sedar dan mengetahui bahawa ibu bapa merupakan ‘cerminan’ anak pada masa hadapan atau apabila mereka dewasa kelak.

“Segala yang diperhatikan oleh kanak-kanak dan diajar semasa kecil akan membentuk tabiat mereka. Disebabkan itu, ibu bapa perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai kursus pengurusan kewangan kerana boleh membantu mereka mendisplinkan diri serta memberi idea dan teknik bagaimana caranya mendidik anak bijak berbelanja,” katanya.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana kegagalan untuk menyimpan dan berbelanja secara berhemah antara punca seseorang itu terdedah kepada masalah berhutang yang serius. Situasi ini sangat menakutkan kerana kajian Mohamad Fazli turut mendapati amalan berhutang yang sebelum ini hanya dalam kalangan orang dewasa kini turut menular pada kanak-kanak.

“Kajian ini dijalankan pada tahun 2012 hingga 2014 membabitkan 800 responden pelajar tahun empat dan tahun lima di lima buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah bertujuan mengkaji tahap literasi, kompentensi dan sosialisasi murid sekolah rendah mengenai kewangan.

“Didapati penemuan 80 peratus adalah sama ada mereka pernah meminjamkan wang kepada rakan atau pun meminjam wang daripada rakan. Sangat mengejutkan kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata penemuan kajian ini sebagai satu keadaan serius sekiranya permasalahan ini tidak dibendung segera kerana akan mengakibatkan kanak-kanak ini membesar dan mengamalkan budaya berhutang dalam kehidupan seharian.

DIDIK ANAK

Oleh yang demikian, musim perayaan adalah peluang terbaik buat ibu bapa mendidik anak mereka bahawa duit raya yang diterima bukanlah untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya tetapi disimpan untuk masa hadapan sejak dari awal usia lagi.

Ibu bapa juga sewajarnya memantau perjalanan dan perkembangan duit raya anak mereka.

Pastikan setiap duit raya yang diterima anak dicatatkan dan sekiranya ia melepasi suatu jumlah seperti RM100, wang tersebut bolehlah diserahkan kepada ibu bapa untuk disimpan.

“Bagaimanapun, tidak salah kalau sekali sekala ibu bapa menuruti apa yang dikehendaki atau diidamkan anak asalkan tidak berlebihan atau boros. Ibu bapa boleh menggunakan konsep dua pertiga untuk disimpan dan satu pertiga boleh digunakan anak untuk berbelanja asalkan yang bermanfaat,” kata Mohamad Fazli. – BERNAMA​​​​​​​

Kategori