KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai tertembak mati rakannya, yang disangka seekor babi hutan, ketika mereka memburu di kawasan hutan Kampung Sungai Pening-Pening di Semenyih, Selangor pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kejadian berlaku selepas suspek berusia 44 tahun itu berpecah daripada mangsa yang berusia 40 tahun, dengan masing-masing membawa senapang patah buatan sendiri, untuk memburu pada 12 tengah malam.
Beliau berkata suspek dipercaya tertembak mangsa kira-kira 5.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai tertembak si mati kerana menyangka mangsa adalah babi hutan memandangkan keadaan kawasan tempat kejadian gelap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Suspek ditahan pada 11 pagi hari yang sama.
Ahmad Dzaffir berkata siasatan pasukan forensik polis dari Maktab Cheras mendapati terdapat lapan kesan tembakan pada perut kiri dan sembilan kesan tembakan pada lengan kiri mangsa.
Beliau berkata semakan rekod ke atas suspek mendapati tiada rekod jenayah lampau.
Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, polis merampas dua laras senapang patah buatan sendiri berukuran 127 sehingga 129 sentimeter bersama-sama tujuh peluru hidup 12 bore SME. – BERNAMA