PENYANYI Siti Sarah menerima kecaman hebat netizen gara-gara tidak beli barangan yang dijual seorang lelaki menerusi satu video pendek dimuat naik di ruangan Instagram peribadinya pada Rabu.
Rata-rata netizen yang menyaksikan rakaman berkenaan menyifatkan tindakan penyanyi yang pernah terkenal menerusi lagu ‘Kesetiaan’ dan ‘Saat Hilang Cintamu’ itu sebagai biadab.
Bagaimanapun, perkara tersebut tampaknya telah diselar oleh Sarah sendiri yang tampil menjelaskan keadaan sebenar di sebalik berlakunya perkara berkaitan.
Sarah berkata, video berkenaan hanyalah sekadar gurauan semata-mata dan lelaki tua di dalam rakaman itu ialah bapa kandungnya iaitu Raissuddin Hamzah.
“Lelaki ini Raissuddin Hamzah. Dia bapa kandung saya, kami hanya bergurau. Dari video ini sebenarnya apa yang kita lihat dia sangat sporting melayan kerenah anak-anak yang suka bergurau.
“Nak dijadikan cerita ada pihak yang kata saya biadab sebab tak beli barang pakcik ini,” jelas pemilik nama sebenar Siti Sarah Raisuddin itu.
Justeru, isteri kepada pelawak Shuib (Sepahtu) itu menasihatkan netizen agar mengkaji terlebih dahulu sesuatu perkara sebelum bertindak meninggalkan komen negatif.
Dalam pada itu, Sarah memberitahu dia mengakui kesal dengan sikap segelintir netizen yang bertindak serkap jarang sedangkan mereka tidak tahu mengenai hal sebenar.
Tambahnya lagi, dia juga mengakui berasa terguris hati dengan pelbagai komen negatif yang dilemparkan kepada dirinya sehingga terfikir untuk menutup akaun tersebut. – MYNEWSHUB.CC